Wednesday, December 10, 2008

BILA SEPASANG MATA MENJADI HADIAH...

Ingatkah dikau di dalam lipatan sejarah
Sepasang mata menjadi hadiah

"Kenapa engkau mengikutku?" "Aku tertarik dengan kecantikanmu"

Jawapan yang cukup angkuh Namun mengundang seibu soalan Bila bungkusan merah diterima di tangan MUSLIMAT, Contohilah wanita itu Bukan dengan mencungkil matamu Tetapi dengan menjaga keperibadianmu WAHAI MUSLIMAT, Aku sering tertanya Bagaimana engkau masih sanggup memaniskan muka Menghadiahkan senyuman Meramahkan bicara Kepada lelaki yang bukan muhrim Apakah engkau ini berani menguji jiwa lelaki Yang sememangnya dicipta Allah Dahaga kepada keindahan wanita Walaupun sekadar muka yang manis Apatah lagi lelaki ini Yang kau tahu cukup ego Menganggap wanita sebagai hidangan Yang boleh dibelek dan dipilih-pilih BENAR, Wanita ini telah menemui ajalnya Namun diiringi keredhaan Tuhan Dan keinsafan seorang lelaki Yang akhirnya menjadi ahli sufi MUSLIMAT,

Beginilah jalanmu Tundukkanlah pandanganmu Keraskanlah suaramu Seriuskanlah perwatakanmu Tampilkan ketegasanmu Bila engkau di depan atau di belakang Atau di kiri atau di kanan lelaki Walau atas apa alasan sekalipun Ketuk keegoan mereka Bangkitkan mereka dari mimpi Jelaskan dengan amalmu Bahawa percampuran bukan caranya Bahawa keseronokan adalah palsu Bahawa di sini tiada kebahagiaan Hanya kehancuran MUSLIMAT, Inilah jalannya. Lalu mungkin engkau akan melihat.

Di kalangan remaja ini, akan lahir Rijaluddin berjiwa pejuang, sebagaimana bangkitnya Dai'e bernama Hassan al-Basri, bila sepasang mata menjadi hadiah.

7 Perkara Yg Menghairankan

1). Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa dia akan mati, tetapi masih ketawa.
2). Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa dunia akan binasa, tetapi masih mencintainya.
3). Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa semua perkara terjadi menurut takdir, tetapi masih bersedih kerana kehilangan sesuatu.
4).Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa di akhirat ada perhitungan, tetapi masih sibuk mengumpulkan harta.
5). Aku hairan melihat orang yang sudah kenal dengan neraka, tetapi masih melakukan dosa.
6). Aku hairan melihat orang yang sudah mengenal Allah dengan yakin, tetapi masih mengingat selainNya.
7). Aku hairan melihat orang yang sudah mengenal syaitan sebagai musuhnya, tetapi masih mahu mematuhinya.

Usman Ibn Affan r.a.

Thursday, December 4, 2008

Mengumpat sebabkan muflis di akhirat

SOALAN
Adakah benar pahala orang yang mengumpat diberi kepada orang yang kena umpat? Segala amalan yang lakukan akan habiskah?

JAWAPAN
Memang benar Allah SWT akan menghitung segala amalan manusia, hal ini telah disebut di dalam al-Quran firman Allah yang bermaksud: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (al-Zalzalah: 7&8).
Dalam surah yang lain Allah berfirman yang bermaksud: Dan ‘Kitab-kitab amal’ juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: “Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun. (al-Kahfi: 49).
Yang tidak diendahkan oleh manusia ialah mengenai dosanya. Silapnya manusia dengan amalannya yang tidak seberapa itu yakin boleh melepaskan diri daripada kemurkaan Allah. Dengan amalan yang sangat terbatas ini manusia masih lagi berkesempatan melakukan dosa mengumpat.
Bayangkan sahaja, sudahlah amalan sikit dosa pula banyak malangnya lagi apabila simpanan amalan kebajikan kita dipindahkan ke akaun orang yang kita umpat dan orang kita aniaya. Jika masih tidak dapat melangsaikan hutang orang dianiaya di dunia maka dosa mereka akan dipindahkan ke akaun penganiaya.
Berkaitan dengan muflisnya seseorang yang mengumpat telah dijelaskan oleh hadis baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tahukah kamu siapa yang bakal menjadi muflis? Sahabat menjawab: orang yang muflis ialah mereka yang tiada padanya dirham dan tidak berharta. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya yang bakal menjadi muflis dari kalangan umatku kelak ialah mereka yang datang pada hari kiamat sedang dia di dunia seorang yang menjaga solat, puasa dan zakat tetapi dalam masa yang sama dia datang dalam keadaan dia di dunia dulu mencaci orang itu, memfitnah ini, makan harta orang dengan cara yang tidak halal, menumpah darah orang yang tidak bersalah dan memukul orang. Maka di akhirat nanti akan diambil kebajikan (pahala) daripada golongan yang menganiaya kepada mereka yang telah dianiaya, sekiranya kebajikan atau pahala orang menganiaya tadi habis sebelum selesai hutangnya dengan orang dianiaya maka akan dipindahkan dosa orang dianiaya ke dalam kiraan orang yang menganiaya lalu dihumban ke dalam neraka. (riwayat Muslim ).
Pertama, kita harus faham maksud mengumpat. Dalam bahasa Arab mengumpat disebut sebagai ghibah dalam hadis-hadis Rasulullah juga diguna perkataan yang sama bagi menjelaskan apa itu mengumpat.
Mengumpat maknanya seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah dalam kebanyakan hadis baginda yang sahih di antaranya hadis yang bermaksud: Tahukah kamu apa itu ghibah (mengumpat)? Para sahabat menjawab sesungguhnya Allah dan Rasul jua yang lebih tahu. Maka baginda bersabda: mengumpat itu maknanya engkau menyebut sesuatu mengenai saudara engkau perkara yang dia benci (jika dia tahu pasti dia marah). Lalu sahabat bertanya kepada baginda: adakah tuan melihat sekiranya saya menyatakan sesuatu yang benar mengenai saudara saya? Lantas baginda menjawab: sekiranya kamu menyatakan sesuatu yang benar ada pada dirinya maka kamu telah mengumpat dia dan sekiranya kamu menyatakan yang sesuatu yang tiada pada dirinya sesungguhnya kamu telah berdusta. (riwayat Muslim).
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa: “ghibah ialah seseorang itu menyebut mengenai orang lain yang dia (yang diumpat) benci orang berbuat demikian padanya sama ada yang diceritakan itu berkaitan tubuh badannya atau agamanya atau dunianya atau kejadiannya atau pakainya… sama ada kamu menyebutnya dengan lafaz atau isyarat”.
Ada juga yang berkata ketika dia mengumpat: “aku berani kata depan dia (orang yang diumpat), sedangkan dia tidak sedar perbuatan tersebut adalah lebih menyakitkan saudaranya”.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)
Ibnu Mas’ud pernah berkata: Kami pernah berada di tempat Nabi SAW, tiba-tiba ada seorang lelaki berdiri meninggalkan majlis, kemudian ada seorang lelaki lain mengumpatnya sesudah dia tidak ada, maka kata Nabi kepada lelaki ini: Bertambah gemuklah kamu! Orang tersebut bertanya: Mengapa saya harus menjadi gemuk sedangkan saya tidak makan daging? Maka kata Nabi: Sesungguhnya engkau telah makan daging saudaramu. (riwayat Thabarani dan Bukhari).
Hukum mengumpat pula seperti yang diungkap oleh Imam al-Qurtubiy: “Tiada khilaf (perselisihan) di kalangan ulama mengenai hukum mengumpat, sepakat mengatakan bahawa hukum mengumpat adalah termasuk dalam dosa besar, pengumpat wajib bertaubat di atas perbuatannya.
Manakala Ibn Hajar al-Haithamiy berpendapat: “setiap dari kedua perbuatan mengumpat dan mengata haram dengan kesepakatan ulama”.

ARKIB UTUSAN: 26/09/2008

P/S : Wahai muslimin dan muslimat... mulai saat ini berhentilah menjadi salah seorang antara insan yang muflis di Akhirat nanti, letakkan lampu isyarat MERAH, sebagai tanda anda berhenti untuk mengumpat.Tidak kiralah di kaunter, kantin, pantry, pejabat, atau pun cafe. Selain hubungan kita dengan Allah (hablumminallah) kita juga perlu menjaga hubungan kita sesama insan (hablumminannaas)...Kalau terasa...anda perlu berubah atau pun berhijrah kepada yang lebih baik...alhamdulillah...jangan diikutkan sangat rasa ego yang ada dalam diri, kerana kita HAMBA di atas muka bumi ini, dan kita sama sahaja disisi Allah...Beza kita hanyalah kualiti ketaqwaan disisiNya,iman boleh bertambah dan berkurang mengikut kualiti TAQWA kepada Allah, tunaikan perintah Ilahi tinggalkan laranganNya...kita pasti TAKKAN rugi....

Wednesday, December 3, 2008

AURAT : TIDAK SAMPAI SERU LAGIKAH ANDA???..

TIDAK dapat dinafikan, wanita pada hari ini telah memberikan sumbangan yang besar kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi negara. Dewasa ini terdapat sekian ramai wanita Islam yang bekerja sama ada di sektor awam mahu pun swasta. Bilangan ini semakin hari semakin bertambah dan tentunya mengundang pelbagai persoalan terutama dari aspek berpakaian. Adakah sesuai atau tidak pakaian yang dipakai oleh wanita berkenaan semasa bekerja iaitu dari sudut moral dan lebih-lebih lagi dari sudut agama.

Dalam hubungan ini, Islam tidak mensyaratkan jenis, bentuk serta potongan pakaian yang tertentu yang seharusnya dipakai oleh seseorang wanita itu.


Apa yang dikehendaki oleh agama ialah menutup aurat dan menjaga kesopanan serta kebersihan ketika bekerja. Untuk itu, wanita-wanita yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah sudah semestinya mereka merasa terikat dengan peraturan dan hukum-hukum syarak dan sentiasa sedaya-upaya pula melakukan sesuatu yang diredhai Allah s.w.t.

Fenomena yang wujud pada masa ini iaitu pelbagai bentuk fesyen yang kebanyakannya masih mendedahkan aurat adalah berpunca daripada tiadanya kesedaran atau kefahaman terhadap peraturan pakaian yang sebenar menurut Islam. Oleh sebab itulah masih terdapat sebahagian umat Islam yang tidak faham tentang pengertian aurat itu sendiri. Hakikatnya, di dalam Islam tidak ada satu peraturan yang tertentu dalam menentukan jenis pakaian, *****a Ia telah menetapkan bahawa aurat wanita ialah keseluruhan tubuh badannya kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan hingga pergelangannya yang wajib ditutup.

Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa perubahan fesyen pakaian wanita sekarang begitu berkembang luas. Perubahan ini mempengaruhi apa juga keadaan baik dalam keadaan bekerja atau pun tidak. Walaubagaimanapun, harus diingat, Islam itu bukan agama yang sempit dan menyusahkan umatnya. Islam juga tidak menentang pemodenan tetapi biarlah kemodenan itu menjurus ke arah yang betul dan tidak terkeluar dari lunas-lunas yang telah ditentukan oleh hukum syarak.

Terdapat sebilangan orang merasakan tidak ‘moden’ atau ‘up to date’ apabila mereka tidak mengikuti perkembangan fesyen. Pendapat ini sebenarnya tidak salah sekiranya dia berpendirian untuk menjaga ketentuan hukum syarak yang tidak boleh diabaikannya. Namun apa yang menjadi masalah sekarang ialah terdapat mereka yang mengikuti perubahan fesyen hanya memenuhi keinginannya semata-mata tanpa memahami batas-batas aurat dalam Islam.

Dalam menjaga kesejahteraan umat, Islam telah meletakkan beberapa garis panduan tentang etika berpakaian yang mesti dipatuhi. Di antara garis panduan itu ialah mengharamkan pendedahan aurat di kalangan wanita Islam di hadapan orang-orang yang bukan muhrimnya. Penutupan aurat menurut pandangan Islam adalah berdasarkan syarat-syarat berikut :

Menutup seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua belah tangan.

Islam telah menentukan batas-batas yang harus (boleh) dibuka iaitu muka dan dua tapak tangan, manakala bahagian-bahagian lainnya pula wajib ditutup. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah. Wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur : 30 – 31)

Berpakaian yang tidak membayangkan kulit dan bentuk tubuh.

Antara tujuan berpakaian menurut Islam ialah untuk menutup atau melindungi bahagian-bahagian tertentu pada badan. Tetapi sekiranya wanita tersebut memakai pakaian yang nipis atau jarang sehingga boleh dilihat warna kulitnya dan aurat yang sepatutnya ditutup, maka ini bererti pakaian yang dipakainya sudah tidak berfungsi lagi. Wanita yang berpakaian sebegini disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai wanita berpakaian tetapi berbogel. Mereka bukan sahaja dilaknat oleh Allah s.w.t. tetapi juga tidak berpeluang untuk mencium bau syurga. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud :
“Akan terdapat pada akhir-akhir umatku (kaum wanita) yang berpakaian menutup badan dan telanjang (yang berpakaian nipis atau membayangkan kulit badan/bentuknya), atas kepala mereka, laknatilah mereka sesungguhnya mereka golongan yang terlaknat.”

Tidak memakai pakaian yang ketat.

Antara tujuan menutup aurat ialah untuk mengelak dari berlakunya fitnah. Sekiranya wanita itu berpakaian ketat sehingga jelas kelihatan potongan badan dan bahagian-bahagian anggota tubuh badannya maka keadaan ini boleh menimbulkan fitnah yang berakhir dengan pelbagai bentuk jenayah yang dikutuk oleh agama.

Usamah Bin Zaid menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Kalbi dan Rasulullah menghadiahkan pula kain tersebut kepada beliau (Usamah) untuk dibuat pakaian, tetapi Usamah pula memberikan kain tersebut kepada isterinya. Suatu hari Rasulullah bertanya Usamah, “Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?” Usamah menjawab, “Aku telah berikannya kepada isteriku.” Lalu Rasulullah berkata kepada Usamah : “Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya kerana aku bimbang sekiranya kain tersebut tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu).”

Tidak memakai bauan yang boleh menarik perhatian lelaki.

Abu Musa al-Asy’ari r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan supaya dihidu bau wangi yang dipakainya, maka dia dikira berzina.”

Zainab al-Thaqafiah pula menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :“Jika salah seorang daripada kamu (kaum wanita) keluar untuk beribadat di masjid, janganlah memakai bau-bauan.”jika difahami maksud hadis tersebut, kaum wanita yang hendak ke masjid pun dilarang memakai bau-bauan apatahlagi bagi mereka yang keluar bersiar-siar, ke tempat kerja dan sebagainya. Sudah tentu kesalahannya di sisi agama lebih besar.

Pakaian yang tidak menyerupai pakaian lelaki.

Menurut hadis-hadis sahih dari Rasulullah s.a.w., dapat difahami bahawa Allah s.w.t. melaknat wanita yang meniru pakaian lelaki dan lelaki yang meniru pakaian wanita. Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : “Rasulullah telah melaknat orang-orang lelaki yang berpakaian perempuan dan orang-orang perempuan yang berpakaian lelaki.”

Ini bersesuaian dengan sifat tabi’i seorang wanita di mana Islam menyarankan agar kaum wanita memakai pakaian-pakaian yang sesuai dengan sifat dan kejadian mereka, lemah-lembut dan bersopan-santun.

Secara kesimpulannya, Islam mewajibkan ke atas setiap wanita supaya memakai pakaian yang menutup aurat iaitu menutup seluruh badannya kecuali muka dan dua belah tangan. Mereka juga hendaklah memilih jenis-jenis kain yang tidak membayangkan warna kulit dan tidak juga memperlihatkan bentuk tubuh badan. Begitu juga dilarang ke atas mereka untuk menghiasi pakaiannya dengan hiasan-hiasan dan bau-bauan yang boleh mempesona atau menarik perhatian ramai dan menimbulkan fitnah.

Sesungguhnya, Islam tidak menentukan fesyen dan bentuk pakaian yang mesti dipakai oleh seseorang wanita itu sama ada pada masa bekerja atau pun tidak. Apa yang penting ialah ianya tidak berlawanan dengan batas-batas yang telah ditentukan oleh syarak.Atau dengan lain perkataan yang mudah kita fahami... kalau namanya kita umat Islam...ikutlah ajaran Islam, baca dan hayatilah al-Quran, hadith Nabi, Sunnah Baginda, Qiyas/Ijtihad Ulamak dan berusahalah tinggalkan apa juga larangan Allah (kecil atau besar)

Aces Up Solitaire by Fupa.com